Novel : Kontrak Janji Setia Antara Kita | Episod : 4
salam setia ;
eh eh. hari ni hari khamis kann ? haa. hari novel kann ? hehe. engat fya lupe ke hahh ? mane mungkin melupakan sambungan novel banyak peminat ni kann. hihi. oke ! jom sambung ! dan jangan lupa like ! hehe.
ape ? terlepass ? ouh ! bole di atasi keyh !
6
Sekali lafaz namanya terpateri menjadi milik orang lain. Fikirannya tiba-tiba bercelaru. Terfikir-fikir nasib yang bakal ditempuhi. Dia bakal menempuh sebuah kehidupan baru. Malah kampung halaman ini juga bakal ditinggalkan. Perasaan cemas, takut dan risau membelah jiwa. Sakinah mulai ragu dengan keputusan yang diambil. Sedangkan ijab dan kabul telah terungkap.
Sebelum ini dia tidak terlalu berfikir soal itu. Sakinah hanya menumpukan perhatiannya pada pengajian yang bakal disambung. Perkara lain ditolak ke tepi. Rasa teruja untuk menyambung pengajian benar-benar menggembirakannya.
Oleh itu, tidak langsung benaknya teringat akan masalah lain yang bakal berkunjung. Tadi sewaktu tok kadi meminta tandatangannya, Sakinah berasa satu perasaan aneh berkunjung. Perasaan lebih kepada ragu-ragu. Macam kena paksa saja ketika dia menurunkan tandatangan. Itupun setelah Siti berdehem padanya.
“ Pengantin lelaki dah nak masuk,” Kak Tijah berbisik. Sakinah seperti tersedar dari lamunan. Dia terasa semakin aneh dan pelik. Aku ni kenapa?
“ Beri laluan pengantin lelaki nak masuk.” Arah satu suara dari luar pintu. Tetamu-tetamu yang berada di ambang pintu berkalih tempat duduk. Sakinah berdebar-debar.
Rafiq menghampiri pengantin perempuan yang duduk bersimpuh di atas katil. Wajah isteri barunya tidak dapat dilihat dengan jelas kerana gadis itu tertunduk. Mungkin malu. Entah cantik atau hodoh Rafiq kurang pasti. Selalu juga umi menyuruh dia melihat gambar Sakinah tapi Rafiq malas. Biarpun gadis itu hodoh atau tidak dia perlu berkahwin juga. Demi umi dan Shafiq, Rafiq mahu semuanya segera selesai.
Disarung sebentuk cincin ke jari manis isterinya. Spontan Sakinah tunduk mencium tangan suaminya. Rafiq menolak dagu si isteri dengan tangan kanannya. Mengangkat wajah itu. Sakinah terdorong. Wajah mereka saling bertemu. Mata mereka saling menyapa. Rafiq terus melekapkan sebuah kucupan ke dahi isterinya. Kerlipan cahaya putih daripada kamera-kamera turut bergemerlapan merakamkan saat indah itu.
“ Tahniah, Sakinah.” Ucap teman-temannya. Tersenyum manis Sakinah mendengar ucapan ikhlas dari rakan-rakan seusianya. Dia berterima kasih kepada semua yang datang menemaninya di waktu itu. Rafiq yang berada di sisi hanya diam mengukir senyuman kecil.
“ Tahniah, sayang.” Puan Syamila mencium pipi anaknya. Dikuti umi Rafiq serta kakak dan adik perempuan Rafiq. Sakinah agak segan pada mulanya apabila bertemu empat mata dengan ahli keluarga suaminya. Namun penerimaan baik daripada Mardina dan Marina benar-benar membuatkan Sakinah lega.
“ Terima kasih kerana sudi menerima nak umi. Insya Allah, umi percaya Kinah mampu membahagiakan anak umi. Dia anak yang baik dan mendengar kata. Hanya dialah seorang saja anak lelaki yang umi ada. Jagalah Rafiq serta Shafiq dan sayangilah mereka dengan sesungguhnya. Umi harap Kinah dapat menunaikan kebahagiaan Rafiq dan Shafiq yang telah tertangguh. Jangan hampakan harapan umi. Tahniah, sayang.” Datin Noraini berkata ketika mereka tinggal berdua.
Penuh emosi Datin Noraini mengungkap kata. Sehingga menerbitkan air mata. Sakinah terharu. Kucupan Datin Noraini yang hinggap di keningnya begitu lembut dan tenang.
“ Jadi isteri yang terbaik buat Rafiq tau? Kak long percaya pada umi bahawa Sakinah mampu menjadi ibu terbaik untuk Shafiq dan isteri yang baik untuk Rafiq. Jangan sesekali kecewakan kami. Tahniah,” pesan Mardina dalam ucapannya.
Sakinah hanya mampu mengangguk dalam senyuman sambil berkata, “ Insya Allah, Kinah akan cuba.”
“ Hai, saya Marina! Adik bongsu Rafiq. Kinah boleh panggil Rina aje. Senang. Tak payah nak panggil ‘Kak’ Rina walaupun Kinah muda lagi daripada Rina. Actually seganlah ada kakak ipar yang muda lagi daripada Rina tapi tak kisahlah, janji umi gembira.Yang penting Kinah mesti jadi isteri yang sangat-sangat baik buat abang supaya dia akan bahagia kali ni. Kami percaya dengan pilihan umi kali ini. Jangan kecewakan kami tau! ” ujar Marina panjang lebar.
Oleh kerana, terlalu kasihan dan menyayangi abangnya itu, Marina sanggup memohon dan merayu agar Sakinah tidak menghampakan hidup Rafiq buat kali kedua.
Lagi-lagi Sakinah hanya mengangguk dengan doa, harapan dan impian yang diungkapkan padanya. Walaupun ada kemusykilan yang bertaut di jiwa, Sakinah hanya mendiamkan diri. Namun benaknya masih terfikir-fikirkan tentang pengharapan yang disandarkan di atas bahunya. Masih terngiang-ngiang di telinga kata-kata daripada pihak keluarga suaminya.
AZILA mencebik dalam hati. Komen-komen yang didengar dari para tetamu termasuklah kedua-dua orang tuanya, membengkakkan seluruh organ dalamannya. Dekat di dasar hati, Azila langsung tidak bersetuju. Malah dia paling benci mendengar ayat ‘ secocok sangat mereka berdua. Sama cantik sama padan’. Biarpun seribu orang berkata begitu, Azila tetap dengan pendiriannya. ‘ Sama buruk sama hodoh. Sama-sama malang’.
“ Cantik betul Sakinah. Sesuai sangat dengan laki dia.” Mak Kiah tersengih sambil tersenyum melihat Sakinah dan Rafiq dalam acara makan beradab.
“ Tapi itulah sayang sebab lakinya duda. Kalau tak, memang sesuai betul dengan Sakinah.” Mak Timah pula mengeluarkan butir bicara.
“ Tak apalah, dah jodoh. Lagipun duda bukan sebarang duda. Itu duda berisi. Duit banyak tu. Anak orang kaya.” Mak Lah, ibu Azila pula membuka mulut.
“ Berisi anak jugak,” Azila berkata perlahan. Mak Lah memandang tajam anak daranya. Amaran yang berbunyi jangan suka menyampuk cakap orang tua!
“ Betul tu. Dari dapat teruna tak berduit, aku lagi sanggup kahwinkan anak aku dengan duda berduit. Sekurang-kurangnya terjamin hidup anak aku.” Tutur Mak Timah pula.
“ Itu kalau duda muda. Buatnya duda yang sama baya dengan umur kita tak ke buang tabiat. Esok-esok dipanggilnya kita mak, tak lalu aku nak mendengarnya. Mahu termuntah aku. Gamaknya hari tu juga aku suruh anak aku mintak cerai.” Gurau Mak Kiah. Mak Lah dan Mak Timah ketawa kecil.
Azila mencebik geram. Perbualan di kalangan orang tua itu betul-betul menghimpit fikirannya. Ditambah pula dengan rasa sakit hatinya yang dibawa dari semalam sehingga ke hari ini. Otaknya masih teringat sindiran tajam Sakinah dan teman-temannya. Memang malu besar dia waktu itu. Ingin dibalas tapi takut pula nanti kecoh satu rumah pengantin dikerjakannya. Azila hanya bersabar. Dia pasti akan membalasnya satu hari nanti. Tapi macam mana?
7
Sakinah masuk ke dalam kamar beradunya. Tudung yang meliputi kepalanya ditanggal. Tangan runcing itu mengurut lembut dari bahu sehingga ke pangkal leher. Seluruh urat sendinya dikecam penat. Mulai petang tadi sampai ke malam mereka sekeluarga serta sanak saudara yang masih belum pulang mengemas satu rumah. Dari halaman rumah sehingga ke dapur. Walaupun ditegah oleh ahli keluarga yang lain , Sakinah tetap berdegil ingin menolong. Panas juga telinganya mendengar usikan-usikan yang membuatkan hatinya tidak keruan.
Sakinah menghampiri meja solek. Sepit rambut ditanggalkan. Rambutnya yang panjang mengurai ke rusuk dilurut perlahan . Kemudian dia bergerak ke almari pakaian pula. Tuala dan pakaian tidurnya dibawa ke bilik air. Kali ini Sakinah bertindak penuh berhati-hati. Kelak selepas ini dia perlu membawa pakaian sekali jika mahu mandi. Tidak mahu perilakunya sebelum berkahwin terbawa-bawa selepas berkahwin. Malu besar jika dia terlupa. Walaupun hakikatnya segala-galanya telah halal di antara kedua-duanya.
Lima minit selepas itu Rafiq masuk ke dalam bilik pengantin. Langkahnya diatur kepada bagasi yang berisi pakaiannya. Dia mahu mandi membersihkan badan. Rafiq kaget apabila melihat semua pakaiannya tiada dalam bagasi tersebut. Juraian air dari kamar mandi menyedarkannya. Mungkin Sakinah sudah mengemas pakaiannya ke dalam almari.
“ Dokumen,” Rafiq teringatkan sesuatu. Cepat saja kakinya menapak ke almari pakaian. Kemudian dibukanya almari yang mempunyai dua pintu itu. Dia tercari-cari dokumen yang dimaksudkan di bahagian pakaiannya yang telah disusun rapi. Malah bahagian pakaian Sakinah juga turut diselongkar. Tetapi tidak ditemuinya.
Rafiq beralih pula ke meja solek. Laci meja dibuka. Kini terpampang sebuah sampul coklat yang bersaiz F4 di dalamnya. Masih belum dibuka. Rafiq mengucapkan rasa syukur dalam hati. Diambil keluar sampul surat itu. Sebelum sempat ditutup laci meja itu Rafiq terlihat sekeping sampul surat kecil di dalamnya. Tergerak hatinya untuk mencapai. Mungkin kad ucapan tahniah dari teman isterinya.
‘ Sayangku~ Sakinah’
Rafiq terus saja menuntaskan pandangan tajam ke bilik air yang masih kedengaran deraian air. Wajahnya sinis ketika membaca tulisan di atas sampul itu. Tidak menyangka gadis pilihan uminya itu telah mempunyai kekasih hati.
Nampaknya kali ini umi tersalah dalam membuat perhitungan. Bayangan wajah Suraya yang curang kembali menerjah ingatan. Barangkali Sakinah juga berpeluang mengikut jejak Suraya. Rafiq berang. Marahnya tiba-tiba memuncak. Dia memang benci pada perempuan yang curang.
Walaupun tanpa izin pemiliknya, Rafiq terus membuka sampul surat yang belum dibuka itu. Dia mahu membaca surat cinta gadis itu. Sememangnya Rafiq ingin Sakinah mengetahui bahawa dia sendiri telah membaca surat cinta isterinya itu. Seterusnya bolehlah dilaksanakan strateginya tanpa ragu-ragu. Jauh di sudut hati, Rafiq mahu mengajar Sakinah erti sebuah kesetiaan.
Salam sayang buat Sakinah yang kucintai…
Aku tahu kau bakal menyusuri sebuah kehidupan yang baru..bersama seorang lelaki yang selain dariku. Tapi sayang..aku tertanya-tanya kenapa kau sanggup lukakan hati aku begini? Aku langsung tak faham! Bila aku kata aku sayangkan kau bermakna aku memang sayangkan kau.. tapi kenapa kau bertindak memilih lelaki lain? Aku betul-betul terluka bila mendengar berita perkahwinan kau..dengan seorang duda? Ada anak satu pulak tu!
Rupa-rupanya harta yang kau pilih..Tapi bagaimana dengan impian aku untuk mengecapi kebahagiaan hidup ini dengan kau? Aku tahu aku hanya insan biasa yang belum tentu mampu membahagiakan kau..tapi tak sepatutnya kau bertindak memilih lelaki lain sebagai suami! Aku cuma perlukan waktu untuk membuktikan diri ini mampu berjaya...tapi kenapa aku tak diberi kesempatan itu? Aku terlalu kecewa dengan kau, Sakinah…
Salam Sayang,
Zulfi Hakimi
Rafiq mencampakkan surat yang dibaca beserta sampul yang dipegang ke meja solek. Dia melabuhkan punggung ke birai katil. Sakinah keluar dari bilik air. Pandangan mereka berdua bertamu. Sakinah kecut melihat tatapan mata suaminya. Sangat tajam dan menggerunkan. Sakinah yang berbaju t-shirt putih dan berkain batik menghampiri Rafiq. Dalam takut-takut digagahi diri untuk melangkah.
“ Abang nak mandi? ” Tanya Sakinah lembut.
“ Aku memang nak mandi tapi pakaian aku tak ada dalam beg.” Tutur Rafiq perlahan. Sakinah yang mendengar pula terasa kasar di telinga. Berdebar-debar hatinya tatkala lelaki itu membahasakan diri dengan ‘aku’.
“ Er..Kinah dah pindahkan pakaian abang ke dalam almari. Maaf, Kinah buat tanpa kebenaran abang.” Sakinah tertunduk kesal. Suaranya jelas terketar-ketar.
“ Lain kali jangan buat sesuatu perkara tanpa kebenaran aku.” Rafiq berjeda.
“ Lagi satu aku memang tak suka orang sentuh barang aku tanpa kebenaran.” Ujarnya tenang.
“ Kinah janji takkan buat lagi. Maafkan, Kinah.” Lembut bicara Sakinah memohon kemaafan. Rafiq tidak menunjukkan sebarang reaksi. Sebaliknya dia bangun lalu berdiri sambil menyandar ke meja solek.
“ Duduk,” suruh suaminya. Sakinah duduk di birai katil. Tuala yang membungkus rambutnya dilurut perlahan. Rafiq memandang sekilas perbuatan itu sebelum menatap semula pada sampul yang dipegang. Dibuka lilitan benang pada sampul tersebut.
“ Memandangkan kau dan aku dah berkahwin, aku ada satu perkara penting untuk kita bincangkan.” Rafiq membuka sebuah dokumen. Sakinah bungkam dalam diam.
“ Ambil ni,” Rafiq menyerahkan dokumen itu kepada Sakinah.
“ Apa ni? ” Gadis itu bertanya. Hairan dengan pemberian suaminya.
“ Baca dan kemudian kau perlu tandatangan surat perjanjian itu.” Arah Rafiq.
Sakinah terkejut. “ Surat perjanjian? Tapi untuk apa? ”
“ Untuk jaminan masa depan. Bacalah tapi kalau kau tak nak baca pun tak apa. Aku cuma perlukan tandatangan kau,” bicara suaminya lagi.
Sakinah akhirnya membaca juga isi kandungan dokumen itu. Dari ayat pertama surat perjanjian itu hatinya telah rawan untuk meneruskan bacaan. Namun, bacaannya tetap diteruskan sehingga ke ayat yang terakhir. Jika diikutkan perasaan, Sakinah memang ingin menangis tetapi dia cuba bertahan. Lelaki seperti Rafiq tidak mungkin mengasihaninya.
“ Kenapa abang lakukan semua ini? ” hiba sekali pertanyaan itu.
“ Kau nak tahu apa sebabnya? Baik, salah satu sebabnya ini,” Rafiq mengambil surat cinta yang terdampar di atas meja solek itu. Dihulurkan pada isteri yang baru dinikahinya itu. Sakinah menyambutnya. Dia membaca surat itu.
“ Aku minta maaf sebab membaca surat cinta kau tanpa kebenaran,” Rafiq berkata sinis. Sakinah pantas menggelengkan kepala.
“ Abang dah salah faham. Kinah sebenarnya..”
“ Tak payah nak terangkan. Semuanya dah jelas. Aku nak kau sign sekarang surat itu.” Pintas Rafiq tanpa menghiraukan kata-kata isterinya.
“ Tapi Kinah bukan seperti yang abang sangkakan. Kinah..”
“ Kau jangan nak jadi perempuan jalang. Aku tak kan tertipu dengan helah kau. Cukuplah dulu aku dah pernah diperbodohkan dengan seorang perempuan. Sekarang tak mungkin lagi. Aku akan lebih berhati-hati menghadapi perempuan.”
Sakinah terkesima. Tersentak dengan bicara kasar suaminya. Belum pernah Sakinah mendengar bahasa sekasar itu. Perempuan jalang?
“ Abang tolonglah dengar penjelasan Kinah..” rayu Sakinah. Rafiq menghela nafas keras. Sebatang pen dihulurkan pada isterinya.
“ Abang..”
“ Ambil pen ini dulu dan kemudian sign. Selepas itu, baru aku akan mendengar penjelasan kau.” Tutur Rafiq. Dalam keterpaksaan Sakinah mengambil pen yang diberi. Surat perjanjian itu ditenung lama sebelum teragak-agak menurunkan tandatangan. Dokumen itu diserahkan pada Rafiq semula.
“ Surat perjanjian ini aku dah sertakan dengan surat peguam. Jadi surat perjanjian ini sah dari segi undang-undang. Selagi kau jadi isteri aku, setiap isi surat itu kau perlu ikut. Aku tak akan teragak-agak untuk mendakwa kau di mahkhamah jika ada sebarang tindak-tanduk kau yang bertentangan dengan isi surat itu.” Itulah kata-kata terakhir Rafiq sebelum berlalu keluar dari kamar pengantin.
Sakinah terpana. Langsung tidak menduga suaminya terus pergi tanpa mendengar sebarang penjelasannya. Memang dari petang tadi Sakinah sedar akan kewujudan surat itu di dalam laci. Dia tergerak hati untuk membuangnya. Tetapi mengenangkan teman-temannya ingin membaca surat itu Sakinah membatalkan niatnya. Ternyata natijah sekeping surat cinta yang tidak bernilai telah merosakkan perhubungan yang baru dibina. Sehingga menimbulkan kecurigaan di hati sang suami.
Mutiara jernih yang ditahan berderai juga akhirnya. Sakinah merintih hiba. Tindakan Rafiq telah memilukannya. Beginikah berakhirnya malam pertama miliknya?
MALAM pertama yang didambakan oleh setiap pasangan pengantin baru sama sekali tidak termeterai di antara mereka. Perhubungan dingin di antara kedua-duanya berlanjutan. Malam itu Sakinah tidur di atas katil seorang diri tanpa ditemani. Rafiq pula lebih rela memilih tidur di atas lantai bilik dengan beralaskan gebar daripada sekatil dengan isterinya. Dan tiada siapa dapat menjangka malam yang sepi dan damai terus merangkak mengiringi deraian air mata seorang gadis yang masih perawan.
Sakinah menyeka air mata yang sesekali meleleh ke pipi. Setiap kali fikirannya berpusar pada isi kandungan surat perjanjian yang ditandatanganinya, mudah saja mutiara jernih itu mengalir lesu. Sakinah tidak menyangka semua itu berlaku dalam kehidupannya yang realiti.
1) Puan Sakinah binti Mohd Yusof bertanggungjawab penuh dengan mengambil segala peranan sebagai ibu kepada Amar Shafiq bin Amar Rafiq selagi ikatan perkahwinan di antara Encik Amar Rafiq dan Puan Sakinah masih berlangsung.
2) Jika didapati sebarang kecederaan sama ada dari segi mental mahupun fizikal pada Amar Shafiq semasa di bawah penjagaan Puan Sakinah binti Mohd Yusof maka Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz berhak mengambil tindakan ke atas Puan Sakinah binti Mohd Yusof seperti mendakwanya di mahkamah atas kesalahan di bawah akta penderaan kanak-kanak.
3) Tempoh perkahwinan antara Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz bersama Puan Sakinah binti Mohd Yusof akan terus berkekalan kecuali jika Puan Sakinah berlaku curang dalam perkahwinan mereka.
4) Jika didapati kecurangan berlaku dari pihak Puan Sakinah binti Mohd Yusof maka Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz berhak menjatuhkan talak ke atas Puan Sakinah. Sehubungan itu, selepas penceraian tersebut berlaku Puan Sakinah tidak dibenarkan sama sekali menuntut sebarang harta dari Encik Amar Rafiq.
5) Puan Sakinah binti Mohd Yusof boleh meminta talak dari Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz tetapi Puan Sakinah tidak dibenarkan untuk menuntut apa-apa harta dari Encik Amar Rafiq kecuali di atas kerelaan Encik Amar Rafiq sendiri selepas penceraian berlaku.
6) Perjanjian ini berlaku di antara Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz dan Puan Sakinah binti Mohd Yusof sepanjang tempoh perkahwinan mereka kecuali Encik Amar Rafiq bertindak membatalkan perjanjian ini.
7) Perjanjian ini adalah sulit di antara Puan Sakinah binti Mohd Yusof dan Encik Amar Rafiq bin Datuk Faiz. Selain dari mereka berdua serta peguam yang bertanggunjawab, pihak lain tidak berhak mengetahui isi-isi perjanjian yang termeterai sama ada dari pihak Puan Sakinah mahupun dari pihak Encik Amar Rafiq.
Pedihnya hati! Sakinah mengesat lagi titisan air mata yang masih menuruni lekuk pipinya. Bila dikenangkan kembali baris-baris ayat pada surat perjanjian itu, Sakinah akan sebak. Mutiara jernihnya pasti merembes keluar.
Entah mengapa dia perlu melalui episod getir itu. Terperangkap dalam ikatan perkahwinan yang disangka merupakan gerbang kebahagiaan yang dinanti namun sebaliknya yang terjadi. Hakikatnya, hati Sakinah semakin sendu mengenangkan prasangka Rafiq pada dirinya. Sedangkan jiwa dan hati sucinya belum pernah dinodai oleh mana-mana jejaka termasuklah Zulfi, jejaka yang masih mengejar dirinya biarpun sering kali kasihnya itu ditolak oleh Sakinah.
bersambung di bab 8. . .
fan page : SINI
Comments