Novel : Kontrak Janji Setia Antara Kita | Episod : 1

salam setia ;

mulai hari ini, pada setiap hari khamis, blog Sangat Setia akan menghidangkan novel KONTRAK JANJI SETIA ANTARA KITA yang dihasilkan oleh sahabatku, Aii Fariza untuk tatapan umum. menciplak idea walau dalam apa cara jua sekalipun adalah haram sama sekali melainkan dengan kebenaran. selamat membaca !


Prolog
“ Kinah mintak maaf, abang. Kinah tak tahu apa yang abang suka makan,” ucap Sakinah. Jelingan tajam beserta ketapan sepasang bibir nipis itu menunjukkan suaminya sedang menahan marah. Sakinah tunduk. Air liur dikerongkong ditelan pahit. Perasaan gerun dan takut itu hadir semula.
“ Kau apa pun tak tahu. Yang kau tahu minta maaf dua puluh empat jam,” kasar Rafiq berbahasa. Akhbar yang baru dibacanya dilipat kasar lalu dicampak kasar ke lantai. Sakinah tergamam. Surat khabar itu jatuh tepat ke kakinya. Tengkingan suaminya bergema lagi hari ini. Sakinah sebak.
            “ Ma..maaf..kan.. Kinah.” Tersekat-sekat butir bicara Sakinah. Begitulah dia setiap kali berhadapan Rafiq. Tergagap-gagap seperti pesalah walaupun kadang kala kesalahan itu bukan datang daripada pihaknya. Namun, terpaksa juga dia yang tunduk memohon maaf.
            “ Entah apalah yang umi aku berkenan sangat pada kau? Semuanya serba tak kena. Bertambah menyusahkan aku adalah! ” Rafiq menempelak. Dijeling pada Sakinah yang berdiri di sisinya. Gadis itu masih diam terpaku seperti hari-hari sebelumnya.
            “ Orang kampung memang macam ni, kan? Suka berpaut pada orang kaya untuk hidup senang. Pantang nampak yang berduit lekas sangat pasang jerat. Entah ubat guna-guna apalah yang umi terkena sampai paksa aku kahwin dengan kau? ” sengaja Rafiq menambah kata. Kata-kata yang hanya akan menyakiti hati Sakinah.
            “ Abang tunggu sekejap. Kinah buatkan sarapan yang lain.” Ujar gadis itu. Sakinah ingin berlalu ke dapur. Mahu membikin sarapan lain untuk suaminya kerana sedari tadi Rafiq langsung tidak menyentuh sarapan yang dibuatnya. Selebihnya dia mahu mengelak daripada mendengar kata-kata Rafiq. Hatinya pedih dituduh begitu.
               “ Tak payah. Aku tak lalu tengok masakan kau lagi. Semuanya memualkan,” Rafiq bangun dari kerusi meja makan. Briefcase di kerusi sebelah kanannya dicapai. Rafiq berlalu ke pintu hadapan. Sakinah hanya membuntuti.
               Rafiq tiba-tiba menghentikan langkah . Lantas berpaling. Sakinah terkejut. Nasib baik langkahnya jauh dari Rafiq. Jika tidak pasti tubuh mereka akan berlanggar. Maka tentulah dia yang akan salah walaupun hakikatnya tidak.
               “ Mana Shafiq? ” tanya Rafiq dengan anak mata tepat memanah ke mata Sakinah.
               “ Shafiq tidur. Kinah baru lepas bagi dia minum susu,” beritahunya dengan sedikit tersenyum. Mendengar saja nama Shafiq dia rasa gembira tiba-tiba. Telatah si kecil itu betul-betul mencuit hatinya yang kesunyian.
            “ Bagus. Kau ingat apa yang aku pesan ? ” Rafiq masih merenung tajam pada wajah itu. Sakinah mengangguk.
            Masakan Sakinah lupa pada pesanan yang cukup menggerunkannya itu. Setiap hari pesanan tersebut dititip sejak hari pertama mereka disatukan. Termasuklah hari ini, sudah genap dua minggu dia dipesan begitu. Ya, baru dua minggu berkahwin dia sudah dianggap seperti penjenayah dalam rumah banglo itu.
            “ Ingat..kalau ada apa-apa perkara yang berlaku pada Shafiq, aku takkan teragak-agak untuk dakwa kau. Faham? ” Jerkah Rafiq memberi amaran. Sakinah mengangguk lagi.
            Rafiq bergegas ke kereta Lotus Evora miliknya. Sakinah hanya menghantar di muka pintu. Tanpa pamitan, Rafiq berlalu pergi tetapi begitulah kebiasaannya. Pernah juga dia cuba menghulurkan tangan untuk mengucup tangan itu sebelum ini tetapi tidak langsung dihiraukan malah dia diherdik.
            “ Tak perlu susahkan diri kau nak buat macam tu. Aku langsung tak harap! Jangan kau ingat dengan menunjukkan diri kau baik aku akan tertawan? Aku dah masak dengan perangai perempuan macam kau. Dalam otak kau, cuma tahu nak mengambil kesempatan pada lelaki kaya yang bodoh. Tapi untuk pengetahuan kau, aku tak bodoh! Kau yang bodoh sebab kahwin dengan aku! ”
            Bodoh! Semenjak berkahwin selalu juga telinganya menjamah kalimah itu. Sejak itu Sakinah tidak lagi bertindak sesuka hati. Dia cuma mahu melakukan yang terbaik buat Rafiq. Biarpun balasan yang diterima tidak setimpal.
            Kereta Rafiq sudah menghilang di jalan. Sakinah segera menutup pintu. Dia bergegas ke dapur. Sakinah memandang sepi pada sarapan yang langsung tidak dijamah oleh Rafiq. Nasi lemak, air kopi, karipap, roti, jem, kaya, dan telur hancur. Satu pun tidak mampu membangkitkan selera Rafiq. 
            “ Dia nak makan apa sebenarnya? ” omel Sakinah sendirian sementara tangannya lincah mengemas meja makan.
              

1
Suasana di ruang tamu itu kelihatan senyap setelah beberapa suara mengeluarkan hujah masing-masing. Datuk Faiz mengintai sedikit wajah isterinya dan Rafiq dari tepi surat khabar yang dibacanya. Kemudian cepat-cepat kembali berpura-pura membaca setelah perasan sorotan mata Datin Noraini.
“ Abang..” panggil Datin Noraini berbaur geram. Marah kerana dari tadi hanya dia yang bersuara. Suara suaminya sepatah pun tidak terkeluar. Tenggelam dengan cerita-cerita hangat di dada akhbar. Sedangkan topik perbincangan keluarga ini lebih lagi terasa kehangatannya.
“ Apa dia, Ain? ” Datuk Faiz menyahut. Tapi tatapan mata pada akhbar tidak dilepaskan.
“ Pandanglah sini. Asyik membelek surat khabar dari tadi. Cubalah bercakap sikit, bagi Rafiq ni faham dengan kehendak Ain.” Ujar Datin Noraini. Rafiq bagaikan  cacing kepanasan saja. Duduknya di atas sofa empuk itu terasa duduk di atas bara api.
“ Nak cakap apa? Abang tak tahu. Ain sajalah yang cakap.” Datuk Faiz tersengih di sebalik surat khabar. Dia kalau boleh memang ingin mengelak dari terjebak sama dengan masalah Rafiq. Anak jantannya itu sudah cukup besar untuk membuat dan menilai keputusan tentang hidup yang dipilih.
“ Abang lagi suka tengok surat khabar tu, kan? Baik, mulai esok Ain akan telefon apek hantar surat khabar tu supaya berhenti hantar surat khabar lagi ke sini. Biar abang tak senang duduk.” Datin Noraini memeras ugut. Senyuman sinis dihujung bibir terpamer.
Datuk Faiz segera menutup akhbar di tangan. Jika sudah diugut jangan lagi ditangguh-tangguh. Harus dipatuhi. Perkahwinan selama tiga puluh tahun ini telah menyaksikan pelbagai kerenah isterinya yang dasyat-dasyat belaka. Apa yang dikatakan maka itulah yang bakal dikotakan.
Datin Noraini memang tegas. Lebih-lebih lagi dalam hal mendidik anak-anak. Walaupun tegas tapi sifat penyayang isterinya sangat ketara. Sifat itulah yang berjaya mencuri hatinya di awal pernikahan mereka walaupun perkahwinan tanpa cinta pada mulanya.
“ Puas hati.” Datuk Faiz melipat lalu meletakkan akhbar tersebut di atas pahanya.
Datin Noraini tersenyum lagi. Suaminya itu sangat memahami kehendak hatinya. Perkara itulah yang selalu membuatkan Datin Noraini begitu mencintai jejaka pilihan keluarganya itu. Oleh itu, Datin Noraini percaya perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga tidak lapuk dek zaman malah lebih bahagia dari berkahwin dengan pilihan hati sendiri.
Contohnya sudah ada di depan mata. Anak lelakinya yang berkahwin dengan pilihan hati sendiri baru saja menduda lima bulan lalu setelah bekas isterinya lari mengikut jantan lain.
“ Umi janganlah paksa. Raf mohon sangat. Permintaan umi sukar untuk Raf  tunaikan.” Rafiq memohon pengertian. Datuk Faiz mengeluh lembut. Datin Noraini bangun lalu berdiri sambil berpeluk tubuh. Masih tidak mahu mengalah.
“ Janganlah kita paksa dia, Ain. Dah dia tak mahu,” belum apa-apa lagi Datuk Faiz sudah mengangkat bendera putih. Tanda mengalah.
Hatinya yang lembut tidak mahu menonton kesedihan pada raut anaknya. Kekecewaan Rafiq begitu dalam. Sukar untuk disembuhkan luka itu. Wanita yang dicintai mengkhianati cinta yang dihulurkan. Bagaimana mungkin untuk mencari galang gantinya. Memulai semuanya kembali dari titik permulaan.
“ Berilah peluang pada dia. Umi percaya Sakinah mampu membahagiakan Raf, mampu menjaga dan menyayangi Shafiq seperti anak dia. Insya Allah.” Pujuk Datin Noraini.
Please umi..jangan terpedaya dengan kata-kata dia. Raf dah masak dengan perangai perempuan. Baik di luar tapi jalang di dalam. Semua perempuan sama saja. Raf takkan biarkan diri Raf terhantuk untuk kali kedua.” Getus Rafiq dengan perasaan berang.
Marahnya pada wanita bernama Suraya belum lagi surut. Biarpun untuk lima tahun atau lima puluh tahun lagi. Cintanya juga telah mati serta merta setelah menonton kecurangan mantan isterinya. Yang ditinggal hanya perasaan dendam dan amarah yang memuncak tetapi tidak dapat dihamburkan pada sesiapa. 
            “ Habis tu, umi, Kak Ina dan Rina termasuklah dalam stok perempuan jalang? Maknanya semua perempuan di atas muka bumi ni semuanya jahat macam bekas bini Raf ? Begitu maksud Raf ? ” Tekan Datin Noraini. Sengaja mendera perasaan anak lelakinya itu.
            “ Bukan. Raf maksudkan perempuan luar yang suka ambil kesempatan. Yang bijak memainkan peranan sebagai perempuan baik tapi busuk hati sebenarnya.” Luah Rafiq geram. Perlahan jari-jemarinya menyauk rambutnya ke belakang. Cuba menenangkan diri.
            Melihat saja situasi Rafiq, Datin Noraini menghampiri. Duduk di sisi Rafiq di sofa berangkai dua itu. Tangan anak keduanya itu digenggam penuh erat. Kasih sayangnya tumpah di situ.
“ Tapi Sakinah berbeza, sayang. Cubalah menerimanya kerana umi sangat berharap. Dulu sewaktu Raf berkahwin dengan pilihan hati Raf umi langsung tak membantah. Malah umi menerima dia dengan sepenuh hati. Tak salah jika kali ini Raf mencuba pilihan umi pula. Umi percaya Sakinah mampu membahagiakan Raf dan Shafiq. Remember, Shafiq perlukan sentuhan kasih sayang seorang ibu. Dia masih terlalu kecil.” Datin Noraini berkata lembut dan tenang. Berharap sangat Rafiq mampu menerima Sakinah. Gadis kampung yang begitu istimewa padanya.
            “ Terimalah, dia. Abah pun berkenan dengan budak tu. Lagipun abah takut tiba-tiba Suraya buat tuntutan hak penjagaan anak atas Shafiq. Kedudukan Raf akan tergugat sebab selalunya hak penjagaan anak yang bawah umur tujuh tahun akan jatuh pada si ibu. Kalau Raf berkahwin mungkin kedudukan Raf lebih selamat dan kukuh. Sekurang-kurangnya kebajikan Shafig terjaga.” kata Datuk Faiz. Menguatkan lagi hujah isterinya supaya anakya bersetuju untuk berkahwin lagi.
“ Betul ke, abah? ” Rafiq cemas. Tidak dapat dibayangkan anaknya yang baru berusia setahun itu dirampas darinya. Apatah lagi jika perempuan keparat itu yang cuba merampas Shafiq. Mati hidup balik dia tidak akan sesekali menyerahkan anaknya itu pada perempuan seperti Suraya.
“ Abah banyak membaca dari surat khabar, begitulah selalunya. Kedudukan si ibu lebih diutamakan dari kedudukan si ayah.” Tambah Datuk Faiz lagi. Datin Noraini hanya mendengar. Terselit rasa bangga dan gembira pada bicara suaminya yang penuh ilmu pengetahuan. Secara tidak langsung membantu dirinya dalam memujuk Rafiq.
Rafiq mengerutkan dahi. Bingung.“ Tapi Suraya bukan perempuan baik untuk mendapatkan hak penjagaan Shafiq. Mahkamah should know this. Perempuan tu memang tak layak sebenarnya.”
“ Kedudukan seorang bapa tunggal juga tidak menjamin Raf mendapat hak penjagaan itu. Suraya masih ada ada ibu dan adik perempuan. Barangkali hak penjagaan boleh jatuh ke pihak sana.” Datuk Faiz menambah lagi. Datin Noraini semakin kelegaan  suaminya turut membantu.
Rafiq semakin tidak keruan. Benarkah begitu?
“ Cuba rujuk dengan peguam syarie. Tanya mereka apa yang patut.” Kata Datuk Faiz. Rafiq mengangguk perlahan.
“ Dan lebih baik kalau Raf berkahwin lagi untuk meguatkan kedudukan Raf sebagai seorang bapa. Ada isteri yang menguruskan rumah tangga dengan sempurna dan sebuah keluarga yang lengkap untuk memberi kehidupan yang sempurna pada Shafiq.” Datin Noraini mengulas kembali topik yang dibawa.
“ Boleh ke dia menjaga dan menyayangi Shafiq seperti anak kandung sendiri? Umi rasa ada ke perempuan yang sanggup menerima kehadiran seorang anak tiri dengan ikhlas sepenuh hati? Paling tidak pun perempuan itu cuma mahu mengambil kesempatan dengan apa yang Raf miliki. Sedangkan ibu kandung boleh bertindak membuang anaknya sendiri, inikan pula seorang perempuan yang langsung tak ada hubungan darah dengan kita. Mustahil dia boleh menyayangi anak Raf.” Luah jejaka itu parau. Moga umi faham dengan maksud aku…
            “ Umi percaya Sakinah mampu.” Datin Noraini masih tetap dengan pendiriannya.
            Teguh dan nekad untuk menjadikan Sakinah menantunya. Pengalaman hidup yang panjang banyak mengajarnya menilai hati manusia. Datin Noraini percaya pilihannya ini tidak silap. Hanya Sakinah yang mampu merawat dan menyembuhkan kepedihan luka Rafiq. Gadis tulus itu juga mampu memberikan kasih sayang yang ikhlas buat anak dan cucunya.
“ Tak salah kita mencuba Raf. Gagal sekali bukan bermakna akan gagal untuk kali kedua. Raf dah ada pengalaman dari perkahwinan dulu yang gagal, mungkin Raf mampu menangani kekurangan yang wujud dalam perkahwinan pertama dalam perkahwinan yang kedua.” Penuh diplomasi Datuk Faiz berbicara.
“ Tapi Raf serik umi, abah..” keluhnya dengan seribu kesalan. Memang dia tidak sanggup lagi menanggung perasaan pernah dikhianati. Memeritkan buat dirinya yang terlalu mencintai sedangkan orang yang dicintai sanggup membuat onar dibelakangnya. Lelaki mana yang sanggup melihat isteri yang dikasihi lari mengikut jantan lain?
            “ Tidak salah kita memberi peluang kepada diri kita untuk mencari kebahagian itu sendiri. Raf kena hadapi hakikat hidup ini. Manusia itu selalu diduga. Sekejap kita di atas dan ada ketikanya kita di bawah. Pokok pangkalnya hanya iman di dada. Selagi Raf berusaha untuk mencari kebahagiaan itu insya Allah tak ada apa yang boleh menghalang Raf dari mengecapi semua hasil usaha Raf sendiri. Percayalah Raf masih boleh mengecapi kebahagiaan itu,” bicara Datin Noraini lembut. Tangan Rafiq diramas perlahan. Mengharapkan persetujuan anaknya. 
No! Raf  tak mahu lagi terlibat dengan semua ini.” Rafiq terus bangun. Membiarkan pujukan uminya begitu saja. Rafiq nekad.
“ Cukuplah dengan apa yang Raf dah tempuhi. Untuk berkahwin lagi mungkin tidak. Raf sendiri akan menjaga Shafiq. Raf tak perlukan lagi perempuan dalam hidup ni.” Putusnya tegas.
“ Jadi Raf tak mahu terima Sakinah? ” Soal Datin Noraini. Wajahnya kelihatan tegang. Rafiq menggeleng laju.
“ Kalau Raf rasa Raf dah tak perlukan umi dalam dunia ni Raf memang boleh tolak permintaan umi. Tapi jangan harap umi akan mengaku Raf sebagai anak umi.” Datin Noraini terus berlalu. Mendaki anak tangga ke tingkat atas.
Hatinya betul-betul rawan dengan sikap Rafiq. Naluri keibuannya sebak tiba-tiba. Anak yang diberi kasih sayang sejak lahir kini langsung tidak memperdulikan perasaannya. Permintaannya disisihkan begitu saja oleh Rafiq. Ibu mana yang sanggup menghadapinya saat permintaannya ditolak mentah-mentah. Sedangkan permintaan itu membawa seribu rahmat kebaikan untuk seorang anak.
Rafiq terngadah. Datuk Faiz tersentak. Sebegitu nekad Datin Noraini kali ini.


bersambung. . .

Comments

c@PtA!n a!Dz@M said…
panjangnye . malas nak bace cerite . haha . mane hang cilok weh ?
cik pha said…
oip.panjang pula entry kau y ni hahahha
FYA PELANG! said…
@c@PtA!n a!Dz@M: tahi. kerek je kau cakap cilok ehh ? -_-"
FYA PELANG! said…
@cik pha: haha. ni hasil budak usim gak kot. fpbu :)
Rohaizam Rosli said…
waaaa bernovel pulak yer cik fya kita.... huhuhu
Eida Arina said…
heeeeeeeee.....mcm bestlah citer ni...saya baca habis! :D
FYA PELANG! said…
@Eida Arina: hehe. terima kasih :)