Motivasi Kepimpinan: Virus Terapi Diri
Virus adalah sejenis wabak atau jangkitan yang membahayakan sehingga
berpontensi membawa maut. Virus sifatnya yang tidak mampu dilihat dengan mata
kasar adalah punca mengapa ia agak sukar diubati. Ada juga yang berpendapat
bahawa virus juga seperti bakteria yang mempunyai kategori baik dan jahat. Namun,
virus yang ingin dihujahkan dalam penulisan pena motivasi ini adalah lebih
cenderung kepada kemahuan dan kehendak diri sendiri yang barangkali negatif
bagi sesetengah pihak.
Terapi diri bermaksud satu cara yang selesa yang digunakan sebagai
rawatan atau servis layanan untuk diri sendiri yang sering disajikan di spa
atau pusat kesihatan. Selalunya, terapi diri sebegini juga pastinya berbayar.
Maka, apabila digabungkan kedua-dua konsep ini akan menjadi ‘Virus Terapi Diri’
di mana akan membahaskan kemahuan dan kehendak yang barangkali positif atau
negatif untuk dijadikan sebagai ganjaran kepada diri sendiri setelah berjaya
menyelesaikan sesuatu perkara.
Seringkali berlaku dalam kehidupan seharian, kita akan mendapat tugasan
yang perlu disiapkan dalam tempoh masa yang tertentu. Padahal jadual seharian
kita juga sememangnya sudah padat dengan rehat dan hobi yang hendak dilakukan.
Maka, sebagai ‘terapi diri’, kita sewajarkan menetapkan niat untuk
menghadiahkan atau mengupah diri sendiri setelah berjaya melangsaikan tugasan
tersebut agar diri kita lebih bersemangat untuk melakukannya. Sebagai contoh,
kita mahu menonton perlawanan bola sepak eropah yang akan ditayangkan pada
lewat pagi nanti. Maka, pujuklah diri sendiri agar menyiapkan tugasan terlebih
dahulu sebelum mengizinkan diri sendiri untuk menonton perlawanan tersebut.
Demikianlah definisi ‘virus’ yang ingin diketengahkan kerana biarpun ia adalah
sebagai ganjaran, sedikit sebanyak akan mengganggu prestasi harian kita kerana
tidak tidur dalam tempoh waktu yang sesuai.
Seterusnya, menerima tugasan sebagai cabaran kehidupan. Kadang-kala,
dalam dunia kerjaya, tidak mustahil kita akan menerima tugasan yang kita
sendiri merasakan tidak mampu melakukannya kerana terhad ilmu dan masa. Maka,
sahutlah cabaran itu dan positifkan diri untuk menyiapkan tugasan tersebut
dengan baik. Pujuklah diri sendiri kerana dengan melakukan tugasan yang agak
baru untuk diri kita juga akan mendapat ilmu pengetahuan secara tidak langsung
dan boleh dijadikan sebagai ‘terapi diri’ biarpun pada asalnya ‘virus’ telah
menyelubungi diri kita yang tidak rela untuk melakukan. Ilmu pengetahuan
sememangnya adalah harta yang tidak akan luput malah mampu hak milik keturunan
kita.
‘Virus Terapi Diri’ ini juga tidak hanya fokus kepada bidang kerjaya. Ia
juga boleh dijadikan dalam kehidupan seharian sebagai hamba Allah. Selalunya,
apabila kita terlalu sibuk akan hal dunia, kita akan terlupa bahawa hal dunia
yang kita sibukkan itu adalah sementara. Manakala, kehidupan akhirat itu adalah
selamanya. Namun, persediaan untuk akhirat yang selamanya itu lebih kecil berbanding
hal dunia yang bersifat sementara. Maka, tidak salah juga kita ‘terapi diri’
dengan membaca Al-Quran mengikut kemampuan dan mengamalkan solat sunat ketika
rehat semasa bekerja. Seharusnya, ‘virus’ yang terlalu sibuk akan urusan dunia
itu diketepikan buat sementara sambal menguruskan urusan akhirat.
Sebagai kesimpulan, dalam menguruskan ‘Virus Terapi Diri’ ini, kita
hendaklah tegas dalam melakukannya. Ini adalah kerana jika kita melakukannya
sambil lewa, hasilnya pasti akan mengalami kecacatan dari perancangan awal.
Oleh itu, sikap bersungguh-sungguh tidak boleh ditinggalkan dalam setiap
perkara yang kita lakukan.
Hasil Nukilan: Fya Pelangi, 2015
Comments