Keluarga Penumpang MH370 Redha



PUTRAJAYA: ‘Redha’, hanya itulah ungkapan yang mampu diluah beberapa anggota keluarga penumpang pesawat dengan perkhabaran terbaharu berhubung nasib pesawat MH370, yang diumum berakhir di selatan Lautan Hindi, selepas hilang sejak 8 Mac lepas.
Zamani Zakaria, 56, bapa kepada Razahan, 23, berkata beliau menerima berita itu sebagai ketentuan Ilahi setelah lebih dua minggu operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
“Pencarian ini telah berakhir dan kita tidak lagi perlu menunggu dan ternanti-nanti kerana penantian suatu penyeksaan,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Zamani kehilangan anak serta menantunya, Norli Akmar Hamid, 33, yang dalam perjalanan untuk berbulan madu di Beijing, China.
Selamat Omar (gambar), 60, bapa kepada Mohd Khairul Amri, 29, juga berkata beliau menerima berita itu dengan hati yang redha dan terbuka.
“Seperti yang saya beritahu di peringkat awal, saya terima apa sahaja ketentuan, ringkasnya saya redha dengan apa yang telah ditentukan,” katanya.
Pesawat malang yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu, hilang daripada skrin radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam.
Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi 8 Mac.
Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi keluarga anak kapal MH370 di Hotel Marriot di sini gagal kerana pihak keselamatan meminta wartawan meninggalkan kawasan lobi.
Difahamkan anggota keluarga anak kapal terbabit dipanggil ke satu bilik khas untuk mendengar taklimat pihak MAS.
Di Hotel The Everly pula, media tempatan dan luar negara mula memenuhi lobi malam ini sejurus pengumuman terkini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung status misi mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Suasana hotel yang agak lengang pada waktu malam sejak empat hingga lima hari lepas agak berbeza berbanding malam ini dengan para media yang menunggu bagi mendapatkan reaksi keluarga penumpang pesawat terbabit.
Sehingga sejam selepas pengumuman Najib, media masih gagal mendapatkan komen pihak keluarga, dan rata-rata wartawan dilihat tidak mengganggu selain memberi ruang serta masa kepada mereka untuk menenangkan diri.
Difahamkan masih terdapat lima keluarga penumpang dari Malaysia menetap di hotel itu sejak 8 Mac lepas.

Comments

FarhanahAdzlan said…
moga dipermudahkann urusan mas dalam urusannya. Moga Allah lindungi dari perkara2 yg tidak diingini berlaku. amiinn
Intan Saffyna said…
hi,singgah dan follow awak :)