Tiga Sebab Utama Remaja Terjebak Dadah


Kuala Lumpur: Pengaruh rakan, perasaan ingin tahu dan untuk keseronokan menjadi punca utama golongan remaja terbabit dalam masalah penagihan dadah termasuk syabu.
Pegawai Perhubungan Awam Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mohd Amir Khusairi Harun berkata, mengikut statistik pihaknya, 41.97 peratus penagih yang dikesan dari Januari hingga Mac 2013 mula terjebak dengan gejala penagihan dadah disebabkan pengaruh rakan.

“Manakala 19.44 peratus disebabkan perasaan ingin tahu golongan terbabit menyebabkan mereka terdorong mengambil dadah sehingga terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu.

“Mereka yang menggunakan dadah untuk tujuan keseronokan pula adalah sebanyak 17.95 peratus. Justeru, AADK berpendapat tiga faktor itu turut mempengaruhi remaja terjebak dalam gejala penagihan dadah,” katanya.

Mohd Amir berkata, remaja terutama pelajar memberi alasan mereka menggunakan syabu kerana ingin berjaga malam untuk mentelaah pelajaran. Namun, ramai juga dalam kalangan mereka yang menggunakan dadah jenis syabu hanya untuk berseronok. “Tanpa mereka sedar pengambilan dadah ini memberi kesan buruk. Sangkaan mereka dengan mengambil dadah jenis syabu akan memberi daya tahan untuk menelaah pelajaran ketika waktu malam tanpa perlu rasa mengantuk.


“Sebenarnya mereka tidak tahu dadah jenis syabu yang tergolong dalam kumpulan Amphetamine-Type Stimulants (ATS) yang boleh memberi kesan berbahaya kepada penggunanya,” katanya.

Beliau berkata, ATS adalah kumpulan dadah perangsang yang bertindak ke atas sistem saraf pusat kerana ia jenis dadah sintetik yang dihasilkan daripada bahan kimia.

“Kesan penggunaannya akan menyebabkan hilang selera makan, berat badan menjadi susut, pergerakan badan tidak terkawal, tekanan darah meningkat, tingkah laku menjadi ganas, kecenderungan membunuh diri dan kurang kawalan emosi,” katanya.



image google

SUMBER : SINI

Comments