Novel : Kontrak Janji Setia Antara Kita | Episod : 2

salam setia ;

* mahu episod sebelumnya ? sila klik Novel : Kontrak Janji Setia Antara Kita di page atas. atau di SINI. terima kasih :)

2
“ Woi, apahal moody semacam ni ? Aku ajak kau ke sini untuk hilangkan rasa tension dalam kepala otak kau tu tapi alih-alih aku pulak yang tension tengok kau macam ni. Apahal? ” Tanya Rudi setelah mengambil tempat  di bar lalu duduk bersebelahan Rafiq. Sementara perempuan cantik dan seksi yang dikeleknya tadi masih setia berdiri manja di sisinya sambil mengusap dan mengelus wajah dan lehernya. Dia tersengih pada Rafiq.
            Rudi mengangkat jari telunjuk memesan minuman kepada seorang lelaki yang bertugas sebagai pelayan bar. Tidak perlu dia bersusah-susah menyebut pesanan minuman yang perlu dihidangkan kerana pelayan bar itu cukup mengenalinya.
            “ So, apahal yang buat kau runsing sangat ni? “ Soal Rudi lagi apabila melihat Rafiq masih diam membisu. Minuman koktel diletakkan dihadapannya oleh pelayan bar.
            “ Kau rasa masalah aku yang paling rumit sekarang ni apa? ” Rafiq melemparkan pandangan kepada sekelompok manusia yang asyik menari. Suasana meriah dalam kelab  langsung tidak dapat menarik perhatiannya.
            “ Banyak. Kau nak yang mana satu? ” balas Rudi selamba. Air yang dipesan diteguknya rakus. Maklumlah dahaga sangat setelah penat menari terkinja-kinja sebentar tadi.
            “ Jangan jadi banganglah, Di! Aku tengah serius kau boleh pulak main-main,” Getus Rafiq geram. Rudi tergelak besar.
            “ Relakslah Raf. Aku buat lawak pun kau nak marah. Kawallah sikit temper tu. Boleh buat awek aku lari, beb. “ Bicara Rudi sambil merangkul perempuan di sisinya. Semakin menggedik gelagat perempuan itu. Semakin berbulu mata Rafiq menontonnya. Perempuan..tak sah kalau tak menggedik pada lelaki yang berduit.
            “ Kaulah punya pasal. Siapa suruh kau buat lawak bodoh pulak time ni? Kepala aku tengah berserabut sekarang tiba-tiba kau tambah pulak dengan lawak bodoh kau, memang aku malas nak layan.” Rafiq menyedut minuman pepsi yang dipesannya.
            “ Ini tak lain tak bukan, mesti masalah tentang kahwin lagi, kan? ” Teka Rudi. Jangkaannya tepat apabila Rafiq menganggukkan kepala. Memang dia sudah mengagaknya dari tadi.
            “ Kejap, ” Rudi berpaling pada perempuan seksi di sebelahnya sambil berbisik sesuatu. Perempuan itu kemudiannya berlalu dari situ.
            “Siapa tu? ” soal Rafiq sekadar meredakan gejolak di hati. Rudi tersengih seperti kerang busuk.
             “ Kenapa, kau berminat? Kalau kau nak aku boleh bagi tapi aku dah pernah rasalah perempuan tu. Bestlah jugak . Macam mana, nak cuba? ” Tawar Rudi seperti menjual ikan di pasar malam.
            “ No, thanks. Aku tak berminat nak jamah bangkai kau. ” Rafiq menolak tawaran murah dari Rudi.
            “ Tak berminat dengan bangkai aku? No, problem. Aku boleh tolong carikan seorang perempuan yang belum lagi pernah jadi mangsa aku. Anak dara…nak? ” Giat Rudi lagi. Padahal dia kenal sangat siapa Amar Rafiq yang sebenarnya.
            Rafiq tersengih sambil menggelengkan kepala.
            “ Kenapa, kau tak berani? ” Rudi bertindak mencabar. Sengaja dibakar perasaan Rafiq dengan cabaran itu kerana dia tahu sangat jejaka itu memang pantang dicabar.
            Rafiq masih tersengih. Dia memang pantang dicabar dalam semua hal tetapi hanya empat perkara yang terkecuali iaitu arak, judi, zina dan rokok. 
Ajaran agama yang diterapkan oleh abah dan uminya sangat kuat. Perempuan. Memang pertama kali imannya diduga hebat sejak berkawan dengan Rudi. Tapi dia terpaksa akui ajaran orang tuanya telah sebati dalam tubuhnya. Kuat mencengkam dirinya daripada terjebak dalam kancah maksiat. Biarpun ramai teman rapatnya menyangka dia juga merupakan stok anak-anak orang  kaya yang bebas bersosial. Namun, sangkaan itu meleset sama sekali.
 Cuma dia tidak boleh mengelak daripada berkawan dengan mereka yang terlibat dalam kancah itu. Terutamanya, Rudi. Seteruk-teruk Rudi, itulah teman yang sentiasa bersamanya tika susah dan senang sejak mereka menjalani hidup di UK.
Dan bagi Rafiq, Rudi memang agak sosial dari sudut itu tapi dari sudut lain siapa yang menyangka dia seorang yang berjiwa pengasih. Pantang mendengar teman terdekat mempunyai masalah pasti akan dibantu walau dengan cara apa pun. Dan sesiapa pun tidak dapat menyangka Rudi yang suka bersosial itu selalu memberikan derma ke rumah anak yatim yang pernah dihuni jejaka itu suatu masa yang lalu.
“ Cubalah sekali, pasti nak lagi! Mana tahu tension kau boleh hilang nanti. Kau takkan rugi apa-apa pun.” Tambah Rudi lagi. Sengaja mengumpan temannya itu mengikut katanya.
            “ Tak perlulah, Di. Aku tak bersedia lagi nak menggalas dosa berzina.” Rafiq membalas sinis. Rudi ketawa besar.
            “ Okay, fine! Aku tahu kau takkan layan punya cabaran aku. So, berbalik pada masalah kau,” Rudi mengalah. Fikiran Rafiq kembali berpusar pada masalah yang melanda.
“ Ceritalah..umi tetap paksa kau?” desak pemuda itu lagi bila melihat Rafiq hanya diam.
“ Tak kira apa pun alasan aku, umi tetap mahu aku berkahwin dengan pilihan dia. Siap ugut aku lagi,” Rafiq menghela nafas perlahan. Masalah itu merumitkannya. Masalah yang sedia ada sudah terlalu banyak ditambah pula dengan permintaan uminya yang dirasakan satu bebanan yang maha dasyat. Cukuplah dengan pengalaman lalu. Dia serik untuk mengharunginya lagi.
“ Ugut? ”
“ Kira dia nak istiharkan aku Si Tanggang versi moden,” laju saja kata-kata itu keluar dari bibirnya. Spontan Rudi tergelak. Terbayang wajah umi Rafiq yang dianggap seperti ibunya sendiri. Wanita itu memang penuh sifat keibuan, penyayang dan sangat mengambil berat. Lebih-lebih lagi perihal yang berkait rapat dengan anak-anak.
Minda Rafiq cepat saja mengimbau peristiwa petang tadi. Sungguh kritikal suasananya. Walaupun hanya dengan kehadiran dirinya, umi dan abah namun perbincangan memang terasa amat sengit. Terlalu menghimpit perasaannya. Rafiq sungguh tidak mahu menuruti saranan Datin Noraini tetapi apakan dayanya. Jika menolak buruk padahnya. Tetapi jika menerima seolah-olah memberi peluang untuk dirinya dilukai lagi. Mungkin kali ini bertambah parah.
Rudi menepuk perlahan bahu Rafiq. Menyedarkan bapa tunggal itu dari lamunan singkat yang dicipta. Rafiq lantas kembali ke alam realiti. Suasana riuh dalam pub itu memang bingit namun dia masih mampu melayan perasaan yang bercelaru. Minuman yang dipesan diteguk lagi. Wajah Rudi kembali dipandang.
“ Aku tahu kau dah serik nak terlibat dengan perempuan tapi kau tak boleh nafikan yang naluri kau tetap mendambakan layanan dari seorang perempuan. Lumrah seorang lelaki sejati,” Rudi tersengih. Rafiq mencebik sinis.
“ Itu kau bukan aku! Bagi aku, sekali aku terkena, aku takkan mengulangi sejarah yang sama,” ujar Rafiq pula. Rudi hanya menjungkitkan bahu. Dia kenal sangat perangai Rafiq. Persahabatan yang terjalin antara mereka cukup membuatkan Rudi mengenali siapa sebenarnya Rafiq.
“ Jadi kau tolak atau terima permintaan umi? ” Tanya Rudi yang berkulit cerah lagi berbanding Rafiq yang berkulit sawo matang.
“ Terpaksalah aku terima kalau umi siap mengugut nak buang aku dari keluarga. Aku ni dahlah bapa tunggal takkan nak jadi anak tunggal pula,” kata Rafiq. Masih terbayang lagi wajah uminya yang kecewa dengan keputusannya yang mendadak. Langsung tidak diendahkan perasaan umi yang sedia sensitif. Dan akhirnya dia juga yang mengalah. Semata-mata mahu menggembirakan hati seorang ibu.
“ Apa salahnya? Aku pun anak tunggal so, joinlah aku.” Rudi bergurau. Tawa kecil tercetus di bibirnya.
“ Kau bukan anak tunggal tapi anak yatim. Tak sama,” tanpa niat Rafiq laju membalas. Rudi terdiam kali ini. Rafiq tersedar bibirnya sudah melanggar kata.
Sorry, aku tak sengaja.” Pohon Rafiq. Rudi tersenyum sambil menggeleng.
“ Kau patut bersyukur sebab masih ada umi dan abah daripada aku yang tak ada sesiapa. Kalau aku jadi kau, aku akan ikutkan saja permintaan umi. Seorang ibu mestilah mahukan yang terbaik untuk anaknya tak mungkin sebaliknya. Umi memaksa sebab dia tak sanggup tengok kehidupan kau yang tak tentu arah selepas jadi bapa tunggal.
 So, mestilah dia nak carikan kau seorang isteri yang mampu menguruskan diri kau dan Shafiq dengan sempurna. Lebih-lebih lagi Shafiq yang perlukan kasih sayang seorang ibu. Aku tak rasa kau mampu bahagikan masa yang secukupnya buat Shafiq. Sekarang inipun  umi yang tolong kau jagakan budak tu,” Rudi berbicara panjang.
Rafiq yang mendengar turut mengakui dalam hati kebenaran kata-kata itu.
“ Tapi kau rasa perempuan tu boleh terima Shafiq sepenuh hati? Aku takut perempuan tu apa-apakan Shafiq. Maklumlah, ibu tiri tak sama dengan ibu kandung. Sedangkan ibu kandung pun boleh buang anak sendiri inikan pula ibu tiri. Esok-esok jangan sampai Shafiq kena dera pulak. Memang aku bunuh perempuan tu,” Rafiq mengulas lagi. Kali ini giliran Rudi mengiyakan kata-kata Rafiq. Sesiapa pun tidak mampu  menjangka jika hal itu  berlaku.
“Apa kata kau pasang CCTV? Senanglah sikit bila kau tak ada, dia takkan cuba mengapa-ngapakan Shafiq. ” Rudi memberi buah fikiran. Rafiq menggeleng laju.
“ Kau ingat rumah aku tu pusat beli-belah ke? Tak relevanlah nak pasang benda tu dalam rumah sendiri pulak tu. Kang, apa kata umi dengan abah aku? Lagipun lecehlah. Nak pasang CCTV memanglah senang tapi nak tengok balik rakaman tu aku mana ada masa. Sekarang pun tengah terkejar-kejar kat pejabat balik sampai lewat malam. Lepas tu, kau nak suruh aku tengok pula rakaman lewat malam. Bila masa pula aku nak tidur? ” sanggah Rafiq.
Rudi mencebik. Mudah saja ideanya ditolak oleh Rafiq walaupun memang ada benarnya. Rafiq diam dan begitu juga dengan Rudi. Masing-masing ligat berfikir tentang cara yang lebih tepat dan mantap.
“ Aku rasa cuma ada satu cara boleh tolong kau lindungi Shafiq dan sekaligus harta kau.” Rudi tersengih lebar. Idea kali ini memang relevan padanya.
“ Harta aku? ”
“ Itu pun kau mesti berhati-hati. Soal tuntutan harta.Tak ada siapa pun tahu yang perkahwinan ni bakal gagal ataupun tidak. Kalau gagal kau nak perempuan tu lakukan perkara yang sama seperti Suraya lakukan pada kau selepas kau orang bercerai? Perempuan macam Suraya tak layak diberi sesen pun,” Rudi berbicara penuh makna.
Rafiq terpinga-pinga. Rudi seolah-olah terlebih pengalaman darinya.
“ Cara apa yang kau ada tu? ” Soalnya. Rudi makin tersengih besar.








3
Sakinah berdebar-debar dengan kedatangan keluarga Datin Noraini ke terataknya usangnya itu. Selepas menghantar air dan sedikit kuih-muih ke ruang tamu, Sakinah terus masuk ke dalam kamar. Benaknya tertanya-tanya tujuan keluarga berada itu bertandang. Pada fikirannya, mungkin sengaja menziarahi keluarganya. Maklumlah, dulu arwah neneknya dan arwah Nenek Khatijah, ibu Datin Noraini berkawan baik. Begitu juga hubungan antara ibunya dan Datin Noraini.
Terimbau kembali kenangan kali pertama pertemuan antaranya dan Datin Noraini di tepi pantai. Semuanya tidak terjangkau tapi kehendak Yang Maha Esa tiada siapa pun yang menjangka.
Perkenalan itu telah membawa Datin Noraini bertemu semula dengan ibunya. Dua orang sahabat lama itu berpelukan dan hampir menitiskan air mata. Jarak perpisahan yang lama mengundang sebak di dada masing-masing.
Perkahwinan yang berlaku antara keduanya memisahkan dua orang sahabat itu. Ibunya terpaksa berpindah mengikut ayah yang bekerja sebagai anggota tentera. Meninggalkan nenek dan atuk. Manakala Datin Noraini terpaksa mengikut suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur. Anggota tentera seperti ayah yang selalu berpindah-randah membuatkan mereka sekeluarga jarang pulang ke kampung. Sehinggalah ibu mendapat berita nenek semakin tenat, barulah mereka pulang. Sempat juga mereka sampai sebelum nenek menghembuskan nafas terakhir.
Ayah yang berasa bersalah melihat kedukaan ibu terus berhenti daripada menjadi askar. Oleh sebab mahu memujuk perasaan ibu, ayah mengajak ibu pulang ke kampung arwah nenek dan menetap terus di sana. Di samping menjaga atuk yang telah keuzuran. Ibu benar-benar bahagia. Mulai saat itulah mereka berpindah, ayah pula hanya menjadi nelayan di sebelah pagi dan menguruskan kebun atuk di sebelah petang. Hidup mereka sekeluarga kadang-kadang agak susah tetapi ayah dan ibu tetap berusaha memberikan mereka pelajaran dan didikan agama yang sempurna.

NAMUN satu keputusan yang lahir dari bibir ayah dan ibu pagi itu benar-benar menghampakan impiannya. Sakinah kecewa dan sebak. Harapannya untuk mengubah nasib keluarga tidak kesampaian.
Alasannya, pengajian Abang Yusri belum lagi tamat di universiti luar negara dan adik-adiknya masih bersekolah. Ibu dan ayah tidak dapat menampung biaya pembelajarannya jika dia turut ke universiti walaupun hanya dalam negara. Oleh itu, ibu dan ayah menyuruhnya menangguhkan pengajian sehingga Abang Yusri tamat  pengajian dalam masa dua tahun lagi. 
            Sakinah yang terkilan, membawa rasa kecewa sehingga ke pantai. Tempat yang selalu dicarinya di kala hati kerunsingan. Dia duduk di atas sebatang pokok kelapa yang telah tumbang. Pukulan ombak yang menghempas pantai menjadi tatapan. Angin yang menderu kuat membuatkan tudung yang dipakai tidak tentu arah. Sambil itu air mata yang meleleh laju dikesat di hujung tudung. Mujur juga tiada sesiapa di situ.
Satu sentuhan lembut di bahu mengejutkan Sakinah. Diseka laju air mata yang masih turun ke pipi. Risau jika ada yang melihat dirinya begitu. Sakinah tidak mahu sesiapa pun mengetahui duka yang bermukim di hatinya. Biarlah dia saja yang menyimpan rasa itu sendirian. 
Sakinah berpaling. Seorang wanita separuh usia yang elegan dan cantik sedang tersenyum padanya. Wanita itu duduk di sebelahnya. Dikendongan wanita itu ada seorang bayi yang comel. Pada perkiraan Sakinah mungkin wanita itu bukan berasal dari sini. Mungkin pelancong yang menginap di homestay kampung dan sengaja berkunjung ke sini melihat keindahan pantai.
“ Menangis? ” tanya wanita itu perlahan dan masih tersenyum. Pandangan mereka bertaut. Sesekali wanita itu mengusap pipi bayi yang berada dalam kendongannya.
Sakinah menggeleng laju. Menipu. Walaupun dia sendiri menyedari tentu bebola matanya sudah memerah akibat terlalu banyak mengeluarkan air mata.
Wanita itu menggeleng perlahan. Tangan kanannya yang masih bebas tiba-tiba hinggap di pipi Sakinah. Disapu perlahan sebutir air mata yang masih tersimpan di situ. Kemudian ditunjukkan kesan air mata itu di depan mata bundar Sakinah. Membuatkan Sakinah tergamam.
“ Bergaduh? ” lembut pertanyaan wanita itu. Sakinah lantas menggeleng laju.
“ Habis tu, kenapa? Ada masalah? ”
“ Masalah kecil saja.” Balas Sakinah sayu. Hampir tenggelam suaranya yang baru lepas menangis.
“ Kalau tak keberatan ceritalah pada saya,” ujarnya lagak seorang ibu penyayang.
“ Tak ada apa-apa. Masalah saya kecil saja. Comelnya baby ni. Anak puan ke? ” Sakinah mengelak dari menjawab. Sengaja beralih tajuk.
Ternyata wanita itu cukup faham. Mungkin gadis di hadapannya ini tidak mahu berkongsi duka yang dilalui. Ataupun belum bersedia bercerita padanya. Sementelah mereka bukannya kenalan rapat. Baru pertemuan pertama. Masakan cerita luar dalam ingin disingkap gadis itu padanya. Mustahil.
“ Hiisyh, bukanlah! Saya ni dah tua mana nak ada anak kecik. Ini cucu saya,” beritahu wanita itu. Tergelak-gelak di hujung bicaranya. Lagak gadis itu kelihatan naif mencuit hatinya.
“ Mana ada tua. Puan nampak cantik dan muda tak mustahil boleh ada anak sekecil ini. Tak sangka pula ini cucu puan. Siapa namanya? ” Sakinah memegang kaki halus bayi itu yang tersarung sarung kaki. Memang sangat comel pada pandangannya.
“ Namanya Amar Shafiq .” Jawab Datin Noraini. Digenggam tangan si kecil yang terawang-awang seperti ingin menggapai sesuatu di langit. Sakinah menguntum senyuman bahagia. Rasa kecewa berlalu dan diganti pula dengan rasa ceria melihat telatah si cilik.
“ Umurnya berapa? ” diusap pula pipi mungil bayi itu.
“ Hampir setahun.”
“ Ibu dan ayahnya mana? Tak datang sekali? ”
“ Ibu dan ayah dia dah berpisah.” Tenang saja wanita itu berkata.
Sakinah tersentak. “ Maafkan saya.”
“ Tak apa. Eh, dah lama kita bersembang. Saya langsung tak tahu nama kamu.”
“ Sakinah. Panggil Kinah saja pun boleh. Boleh saya dukung dia? ” Pinta Sakinah. Dia memang ingin mengendong anak kecil itu. Lebih-lebih lagi Sakinah bersimpati mengenangkan nasib bayi comel itu. Terpaksa mengharungi situasi perpisahan ibu bapa biarpun dalam usia yang sangat mentah. 
Wanita itu mengangguk perlahan. Diberikan dengan cermat cucunya pada Sakinah. 
“ Er, boleh saya tahu nama puan? ” teragak-agak dia menyoal.
“ Nama saya Noraini. Semua orang panggil Ain termasuklak suami saya. Sampai saya naik muak mendengar nama saya sendiri.” Gurau  Datin Noraini. Sakinah ketawa kecil mendengar ujaran wanita di hadapannya itu. Begitu bersahaja intonasinya. Tercuit hatinya untuk ketawa.
“ Hah, kan manis ketawa begini! Jangan menangis lagi. Setiap dugaan itu pasti ada hikmahnya.” Secara tidak langsung Datin Noraini memujuk hati gadis manis itu.
Sakinah mengangguk. Sebuah senyuman terukir biarpun hambar. “ Puan di sini dengan siapa lagi selain Shafiq? Saya tak nampak sesiapa pun dari tadi. ”
            “ Saya datang dengan suami saya. Tapi dia keluar ke pasar sekejap beli barang dapur. Maklumlah, kami baru pulang ke sini jadi tak sempat nak membeli barang untuk memasak.”
            “ Pandai juga suami puan beli barang dapur. Saya jarang nampak lelaki ke pasar sebab selalunya kat pasar tu, majoritinya semua wanita.” Sakinah mengulas.
            “ Mana tak pandainya, sepanjang usia perkahwinan kami selama tiga puluh tahun ni saya selalu paksa dia masuk dapur. Mana tahan kita seorang saja yang memasak tapi dia duduk goyang kaki baca surat khabar. Jadi, bila saya ugut tak nak memasak baru dia nak ikut sekali.” Cerita Datin Noraini secara tidak langsung. Sakinah hanya tergelak  mendengarnya. Datin Noraini terkesan sesuatu dibalik senyuman itu.
            “ Kamu ni orang sini ke? Wajah kamu macam ada iras orang yang saya kenal.”
“ Ha’ah, ibu saya orang sini. Lepas arwah nenek meninggal kami terus menetap di sini. Puan selalu ke melancong ke sini? ”
“ Apa pulak melancong? Saya ni dilahirkan dan dibesarkan di sini. Anak jati kampung ni. Cuma selepas arwah mak saya meninggal saya dah jarang pulang ke sini. Kalau raya pun kami adik beradik selalu berkumpul di Kuala Lumpur. Tapi entah mengapa sejak kebelakangan ini saya tiba-tiba terpanggil untuk balik ke sini. Rindu agaknya.” Luah Datin Noraini. Sakinah hanya mendengar. Dibelai ubun-ubun Shafiq. Sesekali ciuman kecil bertaut dikening bayi itu.
“ Ibu kamu orang sini. Siapa namanya? Mana tahu kami saling mengenali.” Datin Noraini senang melihat Sakinah mengulit manja cucunya itu. Penuh sifat keibuan biarpun gadis itu nampak begitu muda.
“ Nama ibu Syamila.” Beritahu gadis itu. Senyuman Datin Noraini mati. Berubah air mukanya serta merta. Sakinah turut terkesan.
“ Syamila? ”
Sakinah mengiyakan. “ Orang kampung panggil Mila.”
“ Syamila anak arwah Hajah Fatimah dan arwah Haji Abdullah?  Kamu anak dia? ” Datin Noraini semakin penasaran.
“ Ya. Kenapa, puan? ” Sakinah hairan melihat riak wajah Datin Noraini. Tergambar sebuah rahsia disebaliknya.
Datin Noraini mengampu wajah Sakinah dengan kedua-dua belah tangannya. Tidak silap tekaannya. Wajah Sakinah ada iras Syamila. Alhamdulillah, tak sangkanya  ya Allah..
“ Bawa mak cik berjumpa ibu kamu. Mak cik dah lama nak berjumpa dia,” pohon Datin Noraini. Rautnya benar-benar berharap. Air matanya hampir bergenang. Sakinah yang kaget, mengangguk sebagai tanda persetujuan. Sambil mengendong Shafiq, Sakinah membawa haluan bersama Datin Noraini ke rumahnya. Meninggalkan kawasan pantai.


bersambung di bab 4. . .

Comments

lieynanilaz said…
baguslah novel ni.cepat2 sambung yerk!!
Unknown said…
@lieynanilaz: hehe. insyaAllah. kalau mendapat sambutan, hari2 akan diterbitkan :)


btw, tengs :)
nini said…
bile nk smbg lg ni???x sbr nk bace ni...
Unknown said…
@nini: hehe. khamis depan, insyaAllah :)
Gadis Bunga said…
cepatla cont. weh...x sabar da nie nk bce! :)
Unknown said…
@Gadis Bunga: :)) insyaAllah alya uitt :)